Sunday 21 February 2016

Pecat jika tak penuhi KPI




JOHOR BAHRU - MIC Johor tidak teragak-agak memecat mana-mana ahli majlis yang gagal memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan dalam tempoh enam bulan pertama selepas dilantik.
Pengerusinya, Datuk M Asojan berkata, tiga syarat utama telah ditetapkan bagi memastikan ahli majlis dilantik memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya menjaga kebajikan kaum India.

“Ahli majlis harus menghadiri semua mesyuarat jawatankuasa yang diadakan dan perlu membangkitkan isu berkaitan masyarakat India di kawasan masing-masing. Mereka juga dikehendaki menghantar laporan dua bulan sekali kepada MIC negeri.

“Sekiranya gagal mencapai KPI ini dalam tempoh enam bulan, kita akan beri nasihat dan akan mengganti dengan calon baharu sekiranya masih tidak memenuhi syarat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan taklimat bersama Ahli Majlis MIC di Bangunan MIC Johor di sini, semalam.

Asojan berkata, seramai 30 calon baharu dilantik Ahli Majlis MIC, manakala lapan calon lama dikekalkan bagi pelantikan penggal baharu dalam kerajaan tempatan membabitkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.

“30 daripada 38 ahli majlis bagi penggal baharu ini adalah calon baharu termasuk tujuh Ahli Majlis Pemerhati daripada Wanita dan Pemuda.

“Pemilihan ahli majlis dibuat berdasarkan cadangan di peringkat akar umbi dan kemudian mendapat persetujuan Presiden (MIC) sebelum diluluskan kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu katanya, MIC Johor turut mengambil inisiatif menubuhkan Biro Ahli Majlis yang diketuai R Kumaran bagi memantau prestasi dan perkhidmatan semua ahli majlis dilantik.

“Selain itu kita turut wujudkan beberapa biro baharu dalam parti bagi memudahkan tindakan segera diambil terhadap isu dibangkitkan oleh akar umbi,” katanya.

Selain itu katanya, MIC Johor akan meneruskan agenda parti bagi pemilihan pelantikan Ketua-ketua Masyarakat dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment