Monday 28 November 2016

DUN Johor kecoh, Khaled bidas DAP


ISKANDAR PUTERI: Sesi penggulungan Bajet 2017 Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kecoh seketika apabila wakil rakyat DAP tidak berpuas hati dengan ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, Barisan Nasional (BN) berjaya menjadikan Malaysia mengecap pelbagai kemajuan sedangkan DAP hanya dilihat memperjuangkan kepentingan satu kaum.

"Lihat sahaja di Pulau Pinang. Jurang antara orang Cina, Melayu dan India bukan sahaja melebar, malah membahayakan.

"Sehingga sekarang, sudah hampir dua penggal kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP memerintah, namun mereka belum pernah mengemukakan pelan untuk memajukan orang Melayu dan India di negeri berkenaan.

"Atas dasar itu, saya yakin DAP tidak akan dapat menarik sokongan orang Melayu dan India di Johor ini," katanya.

Tan Hong Pin (DAP-Mengkibol) bangun mencelah dengan meminta penjelasan daripada Mohamed Khaled berhubung ucapan berkenaan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz, menjelaskan Mohamad Khaled sebagai ketua kerajaan negeri hanya membuat perbandingan dan meminta Hong Pin duduk bagi mendengar ucapan Menteri Besar.

Bagaimanapun, sesi berkenaan terus kecoh hampir 10 minit apabila beberapa wakil rakyat DAP bangun sambil meminta penjelasan daripada Mohamed Khaled.

Speaker kemudian meminta Mohamed Khaled meneruskan ucapan dengan menegaskan perkara berkenaan tidak menyalahi peraturan mesyuarat DUN Johor.

No comments:

Post a Comment