Monday 28 November 2016

Pasar raya musnah terbakar


ALOR GAJAH: Tiga lot sebuah pasar raya musnah dalam kebakaran di Taman Seri Bayu, Kelemak di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu disedari orang ramai yang melalui depan pasar raya berkenaan, sebelum menghubungi balai bomba dan penyelamat berhampiran.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Penguasa Bomba Kanan 2 Ramli Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 4.31 pagi, sebelum sepasukan 28 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, anggota mendapati api sedang marak dan memusnahkan bahagian tengah kedai dalam keadaan pintu bertutup.

"Kerja memadam kebakaran turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Ayer Keroh dan Tampin," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata, anggota bomba mengambil tempoh selama kira-kira sejam untuk mengawal api kerana keluasan kedai yang besar.

"Ketika operasi memadam api dilakukan, berlaku beberapa letupan dan dipercayai berpunca daripada semburan racun nyamuk serta serangga kerana hasil pemeriksaan awal tidak menemui tong gas.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala nilai kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,"

936 pendatang asing ditahan kerana pelbagai kesalahan


SEREMBAN: Jabatan Imigresen negeri menahan 936 pendatang asing tanpa izin, dalam Ops Ikrar Bersepadu yang diadakan di tapak pembinaan sekitar kawasan Jimah, Port Dickson, pada Sabtu. O

Operasi bermula jam 8 pagi hingga 5 petang diketuai oleh Ketua Unit Tindakan Imigresen Seremban, Azil Ashazly Abdul Aziz dan disertai oleh seramai 275 pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Putrajaya, Melaka, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Turut terbabit dalam operasi itu polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Pengarah Imigresen negeri, Hapdzan Husaini, berkata daripada jumlah yang ditahan, seramai 767 adalah warga Bangladesh, Pakistan (80), India (50), Indonesia (22), Sri Lanka (13), Myanmar (3) dan Nepal (1).

Katanya, semua yang ditahan adalah lelaki dan berusia lingkungan 20 sehingga 50 tahun.

"Pemeriksaan dijalankan terhadap seramai 1,081 orang dan seramai 936 orang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih tempoh, memalsukan dokumen dan melanggar syarat pas," katanya di sini, hari ini.

Hapdzan berkata, semua pendatang asing itu ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63, dan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen, Lenggeng, dekat sini.

DUN Johor kecoh, Khaled bidas DAP


ISKANDAR PUTERI: Sesi penggulungan Bajet 2017 Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kecoh seketika apabila wakil rakyat DAP tidak berpuas hati dengan ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, Barisan Nasional (BN) berjaya menjadikan Malaysia mengecap pelbagai kemajuan sedangkan DAP hanya dilihat memperjuangkan kepentingan satu kaum.

"Lihat sahaja di Pulau Pinang. Jurang antara orang Cina, Melayu dan India bukan sahaja melebar, malah membahayakan.

"Sehingga sekarang, sudah hampir dua penggal kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP memerintah, namun mereka belum pernah mengemukakan pelan untuk memajukan orang Melayu dan India di negeri berkenaan.

"Atas dasar itu, saya yakin DAP tidak akan dapat menarik sokongan orang Melayu dan India di Johor ini," katanya.

Tan Hong Pin (DAP-Mengkibol) bangun mencelah dengan meminta penjelasan daripada Mohamed Khaled berhubung ucapan berkenaan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz, menjelaskan Mohamad Khaled sebagai ketua kerajaan negeri hanya membuat perbandingan dan meminta Hong Pin duduk bagi mendengar ucapan Menteri Besar.

Bagaimanapun, sesi berkenaan terus kecoh hampir 10 minit apabila beberapa wakil rakyat DAP bangun sambil meminta penjelasan daripada Mohamed Khaled.

Speaker kemudian meminta Mohamed Khaled meneruskan ucapan dengan menegaskan perkara berkenaan tidak menyalahi peraturan mesyuarat DUN Johor.