Monday 28 November 2016

936 pendatang asing ditahan kerana pelbagai kesalahan


SEREMBAN: Jabatan Imigresen negeri menahan 936 pendatang asing tanpa izin, dalam Ops Ikrar Bersepadu yang diadakan di tapak pembinaan sekitar kawasan Jimah, Port Dickson, pada Sabtu. O

Operasi bermula jam 8 pagi hingga 5 petang diketuai oleh Ketua Unit Tindakan Imigresen Seremban, Azil Ashazly Abdul Aziz dan disertai oleh seramai 275 pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Putrajaya, Melaka, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Turut terbabit dalam operasi itu polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Pengarah Imigresen negeri, Hapdzan Husaini, berkata daripada jumlah yang ditahan, seramai 767 adalah warga Bangladesh, Pakistan (80), India (50), Indonesia (22), Sri Lanka (13), Myanmar (3) dan Nepal (1).

Katanya, semua yang ditahan adalah lelaki dan berusia lingkungan 20 sehingga 50 tahun.

"Pemeriksaan dijalankan terhadap seramai 1,081 orang dan seramai 936 orang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih tempoh, memalsukan dokumen dan melanggar syarat pas," katanya di sini, hari ini.

Hapdzan berkata, semua pendatang asing itu ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63, dan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen, Lenggeng, dekat sini.

No comments:

Post a Comment